BERMULA DISINI...

SMU (A) Nurul Ihsan, Kandek mula ditubuhkan pada Februari 1976, yang diasaskan oleh Dorahim bin Seman iaitu pegawai Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Biak Mempelam yang kini dikenali sebagai KESEDAR. Beliau merupakan penggerak utama dalam merealisasikan hasrat penduduk Kg. Kandek yang ingin menubuhkan sebuah sekolah agama untuk masyarakat tempatan dan sekitarnya.

Bermula tarikh 2 Februari 1976, sekolah agama ini mula beroperasi di bangunan stor baja milik Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan yang terletak di tengah-tengah Kampung Kandek. Bangunan ini dihadiahkan oleh RKTP (Rancangan Kemajuan Tanah Persekutuan) kepada orang kampung untuk dijadikan bangunan sekolah. Pada awal penubuhan, hanya En Mhd Yusoff B. Daud sahaja sebagai tenaga pengajar yang mengajar secara sukarela pada sebelah petang. Kemudian, tenaga pengajar bertambah menjadi 3 orang apabila Pn. Pridas Bt Yusof dan En Mohd Zawawi B. Ibrahim ditawarkan mengajar di sekolah ini. Pada ketika itu, jumlah pelajar dianggarkan seramai 30 orang.

Pada akhir 1976, tapak sekolah terpaksa dipindahkan ekoran pertambahan jumlah pelajar. Sekolah ini kemudiannya dipindahkan di hujung kampung (tapak sekolah sekarang) yang merupakan tanah kerajaan. Bangunan sekolah dibina secara gotong-royong oleh penduduk kampung dan bahan binaannya menggunakan bahan yang sedia ada daripada bangunan lama (stor baja). Sekolah yang baru siap dibina mampu menampung 60 orang pelajar dan 5 orang guru termasuk seorang pengetua, En. Mhd. Yusuf bin Daud ( Pengetua pertama – daripada 2/2/1976 hingga 30/9/1979). Sesi pengajiannya pula bertukar ke sebelah pagi.

Kemudian, pada tahun 1979, En. Abd. Ghani bin Mohamad mengambil alih pentadbiran sekolah ekoran En. Mhd. Yusuf bin Daud melanjutkan pelajaran.  Beliau telah berkhidmat di sekolah ini bermula 1 Januari 1979 hingga 30 Jun 1980 dan menamatkan perhikmatan di sekolah ini kerana mendapat tawaran menjawat jawatan lain.  Bermula tahun ini dan tahun berikutnya, sekolah ini telah menerima beberapa orang guru berijazah yang kini menempa nama diarena politik iaitu Cikgu Wan Abd.Rahim bin Wan Abdullah, Ustaz Mawardi bin Hj. Ahmad,  dan Ustaz Mustapha Rushdi bin Abd Ghani. Bermula pada tarikh ini, pertambahan bilangan pelajar telah meningkat. Pertambahan pelajar pada masa itu termasuk dari daerah luar iaitu Bertam, Serasa, Dabong, Jelawang dan sekitarnya.

Selepas daripada itu, pada Julai 1980, pentadbiran sekolah bertukar tangan kepada En. Nik Abd. Kadir bin Nik Mohd. Zain (Julai 1980 hingga Februari 1983). Pertambahan bilangan pelajar semakin meningkat dengan jumlah yang dianggarkan melebihi 90 orang. Walaubagaimanapun bilangan guru masih lagi seramai 5 orang.

Pada Mei 1983, sekali lagi berlaku pertukaran pentadbir. Pengetua yang ke-4 iaitu En. Yusuff @ Jusoh bin Yunus (2 Mei 1983 hingga 31 Disember 1990) menggantikan Ustaz Nik Abd. Kadir bin Nik Mohd. Zain. Pada ketika ini Kg. Kandek, telah menerima banyak kemudahan asas seperti elektrik dan jalan darat sekaligus memberi kesan terhadap pertambahan jumlah pelajar sekolah. Pertambahan pelajar yang amat memberangsangkan pada ketika itu menyebabkan bilangan kelas yang ada tidak mencukupi. Oleh yang Demikian, En. Yusuff bin Yunus berusaha memohon mendapatkan pembiyaan untuk pembinaan bangunan baru daripada beberapa pihak bagi mengatasi masalah ini. Permohonannya telah berjaya dengan terbinanya 2 bangunan baru yang kini telah dijadikan bangunan asrama perempuan. Sekitar 1989, En. Yusuff bin Yunus memohon lagi bangunan baru untuk menggantikan bangunan awal yang terlalu uzur. Permohonannya juga telah diluluskan.

Pada 1990, En. Yusuff @ Jusoh bin Yunus telah bersara. Sekali lagi En. Mhd. Yusuf bin Daud (pengetua pertama) dilantik bagi meneruskan pentadbiran sekolah ini bermula Januari 1990 hingga 28 April 2008. Permohonan pembinaan bangunan baru pada tahun 1989 diteruskan oleh En. Mohd.Yusuf bin Daud. Bangunan yang baru dibina dengan usaha dan kesungguhan daripada  En. Yusuff bin Daud dan telah dirasmikan pada 11 Februari 1991 oleh YAB Tuan Guru Hj. Nik Abd.Aziz bin Nik Mat yang baru menjadi Menteri Besar Kelantan pada ketika itu. Dari tahun ke tahun, bilangan pelajar semakin bertambah sehingga mencecah 180 orang pelajar dan tenaga pengajar juga telah meningkat kepada 11 orang guru. Bagi memberi keselesaan kepada warga sekolah, satu lagi bangunan dibina yang kini adalah bangunan bilik guru perempuan. Sekolah terus berkembang sehingga menjadi sebuah sekolah yang ada pada hari ini. Bilangan guru juga telah meningkat kepada 15 orang termasuk pengetua. Pada akhir perkhidmatannya, En. Mhd. Yusuf bin Daud bersama JPKS telah berusaha membina masjid dan bangunan baru untuk sekolah.

Pada 1 Jun 2008, En. Ahmad Sanuzi bin Pauzi menggantikan tempat Ustaz Mhd. Yusuf bin Daud yang bersara. Beliau telah meneruskan usaha pengetua terdahulu membina masjid dan bangunan baru. Pada tahun 2009, masjid sekolah yang siap dibina dirasmikan oleh YB Dato’ Mohd Amar bin Nik Abdullah, Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Pada hari ini, 21/7/2010 bersamaan 9 Syaaban 1431, bangunan baru akan dirasmikan oleh YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Hj. Nik Abd. Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan.   

Comments

  1. Derohim Bin Seman tu datuk saya. Allhamdulilah

    ReplyDelete
  2. Hj Derohom Bin Seman baru meninggal. AL FATIHAH

    ReplyDelete

Post a Comment